Wednesday, March 14, 2012

Apabila ilmu dan buku menjadi sebahagian nyawaku.

Hello & Salamun A'laikum - QS 06:54
In The Name Of Allah, Most Gracious, Most Merciful.

Aku percaya bahawa kalian pernah dan ada menjadikan suatu benda itu merupakan sebahagian daripada diri, nyawa dan sebagainya dalam diri kalian. Aku tidak terkecuali untuk itu.

Buku-buku termasuk juga nota-nota penulisanku adalah nyawaku. Aku tidak pernah mendapatkan barang-barang yang aku cintai sejak kecilku. Namun aku suka jikalau aku mendapat hadiah. Tetapi, agak sukar untuk daku meminta agar aku diberikan itu dan ini. Tambahan lagi, peribadi dan personalitiku yang suka bersabar dan terdiam kaku memendam perasaan, tidak mungkin akan tercapai impianku meminta apa-apa, lebih-lebih daripada keluarga sendiri.

Segala puji bagi Allah subhanahu wa taa'la , meskipun aku bukanlah manusia yang terpandai, namun prestasi daku dalam menghadapi zaman-zaman persekolahan yang berorientasikan peperiksaan selama 11 tahun, mampu aku mendapatkan biasiswa tajaan kerajaan lalu menunaikan impianku menyambung pelajaran dalam bidang yang aku minat di luar negara.

Sejak daku mendapat biasiswa, aku mampu menyara hidupku tanpa aku meminta-minta daripada kedua ibu bapaku. Pertama kali dapat menyara hidup dengan hanya bantuan elaun, aku sangat teruja dan bermulalah perhitunganku untuk mendapatkan sesuatu yang belum pernah aku dapat selama hidupku. Salah satunya adalah, buku.

Tidak kuduga bahawa harga-harga buku yang aku inginkan terlalu mahal harganya. Sehinggakan, aku sanggup bermusafir ke utara (di Malaysia) menaiki perkhidmatan awam, semata-mata ke kedai buku terkenal dalam negara. Kecintaanku kepada buku bukanlah kerana ingin menjadikan ia satu koleksi dan pameran di almari buku. Bahkan, isi buku itu sangat tidak ternilai jika dibandingkan dengan harganya, iaitu, ilmu.

Selain itu, aku gemar menulis nota-nota hasil pembelajaranku. Seringkali aku merujuknya dari masa ke semasa meskipun sudah bertahun lama usianya.

Hatiku runsing, namun cuba aku tabahi. Sesungguhnya aku kehilangan sebuah buku tulis sejak 07.03.2012. Tatkala ku tidur, mandi, makan dan waktu lapang, sering aku terbayang-bayangkan buku tulis itu. Manakan tidaknya, sebuah buku yang terisi nota-nota daripada subjek epidemiologi, transplantologi dan "sport's medicine" yang aku rekodkan dengan penuh sunguh-sungguh dan segala kefahamanku; moga-moga akan menjadi rujukanku sepanjang hayatku, dan bakal dikongsikan dengan orang lain.

Sangat perit dan pilu hati, apabila sebahagian nyawaku hilang. Seolah-olah payah dalam mengharungi hidup di kemudian hari. Inilah "passion" daku terhadap ilmu dan buku. "Oh Tuhan, inilah musibah yang Dikau timpakan kepadaku, daku redha, maka gantikanlah ia kepada yang lebih baik. Sungguh, Dikaulah tempatku kembali dan luasnya rahmat dan kurniaanMu", ameen ya Rabb al-a'lamin.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment