Tuesday, March 13, 2012

Apa itu "high level presentation"?

Hello & Salamun A'laikum - QS 06:54
In The Name Of Allah, Most Gracious, Most Merciful.

"Saya inginkan kamu menyampaikan 'high level presentation' pada hari terakhir!", itulah yang diminta oleh seorang professor dan juga merangkap ketua jabatan parasitologi; menjadi satu permintaan yang wajib dilaksanakan kerana kecewa dengan pelajar-pelajar sebelum ini terlalu memandang enteng dalam membuat kajian serta penyampaian yang bersifat "the beginner".

"Saya masih tidak puas hati lagi, dalam kalangan kamu punyai tema yang sangat menarik tetapi terdapat kesilapan dan kurang memuaskan dalam menyampai. Saya menganggarkan penyampaian kamu semua masih di tahap rendah namun tinggi sedikit sahaja", berceloteh professor itu setelah masa seminggu diberi kepada pelajar-pelajar namun mengecewakannya.

Apakah "high level presentation itu"? Bagaimana "presentation" saya mampu sampai ke tahap itu?

Memang kita mendambakan itu, tetapi bukanlah bermaksud kita malas untuk mengkaji, membaca dan menulis. Bahkan kita telah berhempas pulas melaksanakan kerja secara berkumpulan, semua bergerak aktif dan bersungguh-sungguh, malah mengikhlaskan diri serta penuh komitmen.

Kecewa juga kita sebagai pelajar ini tidak mendapat pujian atas perlaksanaan yang diambil serius, tetapi akhirnya di luahkan keputusan yang meruntuhkan motivasi daripada mulut seorang pakar dalam bidang mengkaji parasit.

Mujurlah, Allah subhanahu wa taa'la itu maha melihat dan kurniaanNya maha luas. Kami tidak hiraukan sangat apa yang dicelotehkan meskipun terguris hati sedikit, tetapi kami belajar atas kesilapan.

Berbalik kepada persoalan yang asal, apakah dan bagaimana ingin mencapai ke tahap itu dalam menyampaikan suatu persembahan berbentuk ilmiah? Bagiku itu adalah satu pengalaman yang perlu di-didik setiap masa.

Teringat aku ketika melakukan praktikal di Malaysia, tutorku adalah yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Pada hari pertama aku berjumpa dengannya untuk memperkenalkan diri, terus beliau menyuruhku membuat satu "case history" daripada seorang pesakit lalu wajib dipersembahkan kepada beliau nanti.

Pertama kali melakukan "case history" dengan cara professional di Malaysia, aku kaget dan bimbang kerana terlalu banyak yang lintang-pukang dalam merekod. Selepas itu, ternyata benar, terlalu banyak kesilapan yang ditegur dan diperbetulkan dengan cara yang berhikmah, bukan ditengking dan dimaki. Aku sungguh malu dan kecewa dengan "skill" ku pada masa yang sama, hatiku tersentuh dengan cara teguran itu malah memotivasikan daku untuk belajar dan membuat lebih baik lagi.

Setiap hari dalam tiga minggu, ada saja "case history" yang direkodkan, lalu dipersembahkan. "Saya mendapati kamu sudah boleh memahami bagaimana cara yang terbaik untuk menyampaikan "case history" kerana kamu akan berkongsi maklumat-maklumat pesakit ini kepada doktor-doktor yang lain dalam mengevaluasi keputusan yang lebih berkesan. Namun kamu ada tertinggal "itu" dan "ini", maka pelajarilah untuk bertanya pesakit dalam bentuk satu pakej ke satu pakej." Itulah komen terakhir tutorku berkenaan persembahanku yang telah daku berhempas-pulas membaiki dari hari ke hari selama tiga minggu.

Inilah pengalaman dan pendidikan yang sihat dan terbaik dalam mengetahui apakah kita telah mencapai prestasi yang optimum malah lebih lagi. Peranan kita sebagai pelajar wajib melaksanakan dengan ikhlas dan komitmen yang tinggi; serta pendidik / pengajar / tutor / guru wajib tidak penat lelah untuk memperbetulkan dan memotivasikan anak didik.

Inilah yang aku dambakan ketika aku belajar di sini ketika ini, malah di mana-mana sahaja. Telah aku menikmati dan bersaksi bahawa proses didikan yang mana lebih baik. Aku mencintai suasana itu dan aku berjanji aku akan melakukan seperti itu kepada yang lain.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment