Thursday, April 19, 2012

Humanisme

Hello & Salamun A'laikum - QS 06:54
In The Name Of Allah, Most Gracious, Most Merciful.

[klik gambar untuk besarkannya]

Inilah buktinya salah satu isinya pendirian, prinsip, iktiqad, pegangan mereka yang menggelarkan diri sebagai "humanist".

Humanism ini salah satu ancaman kepada peperangan minda (gazwul fikr) di mana membawa kepada seseorang itu akhirnya memilih kehendak dirinya, atau lebih tepat hawa nafsu mereka untuk menolak wujudnya tuhan, lalu menolak adanya hari qiamat (afterlife).

Hum. Aku pernah banyak kali mendengar konsep humanisme ini. Ya. Ketika aku didedahkan dengan undang-undang perubatan di Moscow, Russia. Sudah semestinya memahami perundangan, perlu memahami perkara asas undang-undang tersebut seperti konstitusi, hukuman jenayah, dan seterusnya. Humanisme adalah terkandung dalam perundangan.

Cuba kita perhatikan, mengapa orang melakukan jenayah pembunuhan, mereka dipenjarakan bertahun-tahun, tetapi tidak dihukum dengan membalas bunuh (nyawa di balas nyawa)? Ini kerana humanisme. Penjenayah diberi tempoh yang lama untuk merefleksi kesalahan diri lalu dia diberi peluang untuk hidup lagi.

Walaupun bunyinya elok dan baik kerana memberi peluang kali kedua kepada pesalah dengan harapan dia bertaubat, tetapi, tidak disangka-sangkakan humanisme itu adalah satu pemikiran atau idealogi yang ekstrim seperti yang dinyatakan di gambar di atas.

Syukur kepada ilahi, kerana pertemukan ini untuk aku menilai apa yang diselindungkan makna kejahatan yang sebenar, salah satunya ideologi ini.

Wallahu a'lam.

Sunday, April 15, 2012

Penghapusan PTPTN: Penyelesaian yang realistik?

Hello & Salamun A'laikum - QS 06:54
In The Name Of Allah, Most Gracious, Most Merciful.

Artikel ini ditulis sebagai luahan pendapat dan analisa oleh Prof. Mohd Nazari Ismail, [PhD., Faculty of Business and Accounting, University of Malaya, Malaysia]. Untuk membaca artikel asal, sila klik di sini.




Penghapusan PTPTN: Penyelesaian Yang Realisitk?

Salah satu isu yang hangat sangat diperbahaskan di negara kita ialah janji ketua pembangkang untuk menghapuskan PTPTN jika pembangkang berjaya memenangi pilihanraya akan datang. Ini bermakna jika kerajaan BN tewas, maka di masa akan datang semua pelajar Malaysia yang akan menuntut di IPTA dan IPTS akan memperolehi pendidikan secara percuma sementara semua pelajar dan bekas pelajar yang berhutang dengan PTPTN akan dikecualikan dari membayar hutang-hutang mereka. Menurut ketua pembangkang langkah ini boleh dilaksanakan kerana pendapatan Petronas adalah mencukupi untuk membiayai kos pendidikan di negara kita. Sebaliknya reaksi kerajaan dalam hal ini ialah bahawa langkah tersebut akan memufliskan negara. Ini kerana kerajaan akan terpaksa menambahkan lagi jumlah hutangnya. Persoalan yang mungkin berlegar di kepala kita ialah siapakah yang bercakap benar dan boleh dipercayai.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah pada masa ini keadaan kewangan negara adalah di dalam keadaan yang tenat. Itulah sebabnya hutang kerajaan sudah pun mencapai tahap yang begitu tinggi iaitu melebihi RM455 billion atau 53% dari KDNK negara. Ramai yang mungkin tidak mengetahui bahawa pada tahun 1970 hutang kerajaan pada masa itu adalah sangat rendah iaitu kurang dari RM5 billion. Tetapi ianya telah meningkat dengan mendadak terutama sekali dalam masa 10 tahun yang lepas.

Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada kenaikkan jumlah hutang tersebut. Sudah tentu faktor utama ialah kerana kerajaan telah tidak berbelanja dengan berhemah iaitu dengan berbelanja pada jumlah yang lebih dari pendapatan yamg diperolehinya. Jika kerajaan melaksanakan polisi berbelanja dengan jumlah yang sama dengan jumlah pendapatannya (iaitu dasar Balanced Budget)maka sudah tentu kerajaan tidak akan mempunyai sebarang hutang. Tetapi kerajaan juga sedar bahawa ini bermakna projek-projek pembangunan yang baru tidak akan dapat dilaksanakan. Kadar pertumbuhan ekonomi juga akan menjadi lembab.Semua ini akan menjejaskan pengaruh politik kerajaan. Satu cara untuk memastikan perbelanjaan yang besar masih dapat dilakukan tanpa berhutang ialah dengan meningkatkan pendapatan melalui kenaikan kadar cukai dan juga dengan menghapuskan subsidi. Tetapi langkah-langkah tersebut sudah tentu juga akan membuat kerajaan tidak popular dengan pengundi. Di samping itu, langkah menambahkan cukai dan mengurangkan subsidi akan membuka ruang politik kepada pihak pembangkang. Maka dengan itu kerajaan terpaksa mengambil jalan yang mudah pada jangka pendek iaitu dengan menampung perbelanjaan yang meningkat dengan berhutang. Sebenarnya ini adalah juga situasi yang berlaku di kebanyakan negara lain dan oleh sebab itulah di kebanyakan negara di dunia, hutang kerajaan adalah semakin meningkat.

Faktor kedua yang menyumbang kepada hutang negara yang meningkat ialah ketirisan dan pemborosan di dalam pengurusan kewangan negara. Ini juga berlaku di banyak negara lain, terutama sekali di negara-negara di mana sistem politik adalah tidak demokratik serta tidak wujudnya ketelusan dalam sistem kewangan kerajaan. Akibat dari ketirisan dan pemborosan tersebut, perbelanjaan kerajaan akan meningkat ke tahap yang tidak sepatutnya. Sudah tentu ini juga berlaku di negara kita. Namun jumlah ketirisan dan pemborosan adalah agak sukar untuk dianggarkan dengan tepat kerana banyak maklumat tidak dapat diperolehi akibat dari sistem pengurusan kewangan yang tidak telus.

Namun kita juga perlu menyedari bahawa salah satu dari punca utama kenapa pemborosan berlaku dalam perbelanjaan kerajaan adalah kerana budaya 'politik wang' sudah menular hingga ke akar umbi masyarakat. Akibatnya pada hari ini adalah sangat sukar untuk kita mendapati ahli politik yang tidak beramal dengan amalan politik wang. Ini kerana ramai dikalangan pengundi menjadikan pemimpin politik mereka sebagai salah satu dari 'sumber kewangan' mereka yang penting. Sebagai contoh, apabila seorang ahli politik dilantik menjadi wakil rakyat, ramai di kalangan rakyat akan meminta sumbangan kewangan dari beliau untuk berbagai tujuan termasuk bantuan kesihatan, untuk mengadakan kenduri perkahwinan anak, untuk membaiki rumah yang sudah rosak, untuk membantu pembiayaan pendidikan anak dan berbagai-bagai tujuan lain. Sudah tentu gaji seorang wakil rakyat tidak akan mencukupi untuk membiayai semua permintaan tersebut dan oleh itu sering kali ahli politk terpaksa mencari sumber-sumber kewangan lain untuk menampung kos aktiviti politiknya demi menjaga popularitinya di mata rakyat. Di antara sumber yang terpenting adalah `sumbangan' dari ahli perniagaan. Tetapi sudah tentu ahli perniagaan akan hanya sanggup menyumbang kepada tabung kewangan ahli politik jika ahli politik juga sanggup membantu mereka mendapat projek yang menguntungkan, khususnya projek-projek pembangunan kerajaan. Ahli perniagaan akan juga memastikan bahawa kos operasi mereka akan mengambil kira 'sumbangan' yang terpaksa diberikan kepada ahli politik yang membantu mereka. Inilah di antara sebab utama kenapa terdapat projek-projek kerajaan yang dilaksanakan walaupun tidak nampak keperluan kepada projek tersebut. Inilah juga antara sebab utama kenapa kos projek kerajaan melambung tinggi.

Sebenarnya jika pembangkang memenangi pilihanraya akan datang, sikap rakyat yang suka meminta-minta bantuan kewangan dari pemimpin politik mereka besar kemungkinan tidak akan berubah dengan mendadak. Oleh itu besar kemungkinan juga keadaan kewangan negara yang tenat tidak akan dapat dipulihkan dengan drastik dalam masa terdekat. Cuma besar kemungkinan suasana persekitaran politik akan menjadi lebih telus dan lebih demokratik. Ini sudah semestinya akan dapat membantu untuk mengurangkan kes-kes penyalahgunaan kuasa, pemborosan dan amalan politk kewangan yang sekarang ini sudah mencapai tahap yang menakutkan.

Satu lagi punca kepada kenaikan kos kehidupan serta juga kenaikan perbelanjaan negara ialah sistem kewangan yang diamalkan di negara kita adalah berdasarkan sistem riba. Sebenarnya mana-mana negara yang beramal dengan sistem riba akan mendapati bahawa tahap hutang sektor awam dan sektor swasta akan meningkat dengan cepat walaupun negara tersebut beramal dengan sistem demokrasi dan walau pun terdapat ketelusan dalam persekitaran politik negara tersebut. Bukti yang jelas ialah negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Kesemua negara tersebut mempunyai sistem politik yang demokratik serta sistem pengurusan kewangan kerajaan yang telus. Namun hutang kerajaan di negara tersebut masih berada pada tahap yang tinggi dan oleh itu pembiayaan pendidikan masih tidak dapat diberikan secara percuma kepada rakyat. Di Amerika Syarikat sebagai contoh, hampir semua pelajar akan mempunyai hutang pendidkan yang tinggi sebaik sahaja mereka menghabiskan pelajaran mereka, kecuali jika mereka datang dari keluarga yang kaya atau di mana ibu-bapa sanggup mengorbankan kesenangan mereka untuk membiayai pendidikan anak mereka sendiri.

Jelaslah bahawa dalam masa terdekat, janji ketua pembangkang untuk menghapuskan PTPTN adalah satu janji yang akan sangat sukar untuk kotakan. Namun kita mendapati rakyat masih merasai bahawa ada kemungkinan janji tersebut boleh dilaksanakan walaupun kerajaan BN bermati-matian mengatakan bahwa janji tersebut mustahil dapat dilaksanakan. Kerajaan BN juga bermati-matian mengatakan bahawa jika janji tersebut dilaksanakan, hutang kerajaan akan dinaikkan kepada tahap yang membahayakan keadaan kewangan negara dan besar kemungkinan negara akan menjadi muflis. Namun hujah kerajaan BN sekarang semakin tidak dipercayai oleh rakyat. Punca utama ialah kerana sebahagian besar rakyat mempunyai persepsi yang kuat bahawa kerajaan BN sudah banyak kali menipu rakyat dan ramai di kalangan pemimpin BN juga terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan duit rakyat untuk memperkayakan diri sendiri. Ketua pembangkang menyedari hakikat itu dan jelas sekali sedang mengeksploitasikan nya untuk tujuan kejayaan politik beliau untuk jangka pendek.

Dalam jangka panjang negara kita sebenarnya memerlukan kepada perubahan yang besar dalam banyak perkara. Ini termasuk perubahan kepada sistem politik supaya ianya menjadi bertambah demokratik, perubahan kepada sistem pengurusan kewangan kerajaan supaya ianya menjadi semakin telus, perubahan kepada struktur kepimpinan masyarakat supaya pemimpin yang dilantik adalah dari kalangan yang bertaqwa dan berakhlak tinggi, serta perubahan kepada nilai serta tahap pemikiran masyarakat supaya mereka mereka akan menjadi lebih bijak dalam memilih pemimpin dan tidak mudah ditipu dengan 'gula-gula murahan' dan janji-janji kosong. Dalam erti kata yang lain kita memerlukan kepada proses pentarbiahan yang intensif yang melibatkan semua lapisan masyarakat demi untuk melahirkan generasi baru yang mempunyai tahap kefahaman dan penghayatan agama yang tinggi serta bersifat kritis dalam menilai isu-isu yang dihadapi. Pada masa itu kelak, kita harapkan PTPTN akan menjadi `non-issue'.

Akhir sekali izinkan saya menyatakan satu perkara yang menghairankan diri saya apabila memerhatikan beberapa kes-kes di kalangan ibu bapa yang mengatakan mereka tidak mampu membiayai pendidikan anak-anak mereka sendiri dan menyuruh anak mereka berhutang dengan PTPTN. Ini kerana sering kali saya perhatikan bahawa ibu bapa ini juga sanggup membiayai pembelian kereta baru dan mewah untuk diri mereka sendiri yang berjumlah ratusan ribu Ringgit. Kenapa kah mereka tidak sanggup mengorbankan impian mereka untuk memperolehi kereta mewah demi memastikan anak-anak mereka tidak terperangkap dengan hutang pendidikan? Bagi saya ini adalah bukti bahawa sebenarnya salah satu punca utama masalah adalah sikap di kalangan rakyat sendiri. Selagi sikap ini tidak berubah suasana kewangan negara tidak akan berubah walaupun kerajaan yang memerintah sudah pun berubah.

------------------------------------------


Prof. Mohd Nazari Ismail, PhD., Faculty of Business and Accounting
University of Malaya
50607 Kuala Lumpur

Friday, April 13, 2012

Mengenali Quran.

[Daripada al Thareeq]


Hello & Salamun A'laikum - QS 06:54
In The Name Of Allah, Most Gracious, Most Merciful.

Di dalam sebuah kelas Sekolah Agama Taman Cempaka, murid-murid tahun satu selesai mempelajari subjek tilawah al-Quran yang diajar oleh seorang ustazah kesayangan mereka, ustazah Halimah.

Murid-murid : "Sadaqallahul a'zim."

Ustazah Halimah : "Sadaqallahul a'zim. Mari sama-sama kita membaca doa selepas membaca Quran. Satu, dua, mula . ."

Murid-murid : *dengan alunan nada suara seolah bernasyid*


اللَّهُمَّ ارْحَمْنَا بِالْقُرْءآنِ

وَجْعَلْهُ لَنَا إمَامًا وَنُورًا وَهُدًى وَرَحْمَةً 

اللَّهُمَّ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نَسِينَا وَعَلِّمْنَا مِنْهُ مَا جَهِلْنَا 

وَارْزُقْنَا تِلاوَتَهُ 

اَنآءَ اللَّيْلِ وَاَطْرَافَ النَّهَارِ 

وَجَعَلْهُ لَنَا حُجَّةً يَا رَبَّ الْعَلَمِينَ 

Ameen.

Ustazah Halimah : "Ameen, ya Rabb al-A'lamin. Amboi, sedapnya suara, sesuai jadi kumpulan nasyid ni! hahaha, tahu tak maksud doa-nya tadi?"

Murid-murid : *dengan menggelengkan kepala,malah ada yang menaikkan kedua-dua bahu, seraya berkata* "Entah, tak tahu . . .! "

Ustazah Halimah : "Nah, anak-anak! Kalau kita berdoa, beerti kita meminta dan memohon kepada Allah. Perkataan yang keluar dari mulut kita untuk meminta, mestilah kita faham, ikhlas daripada hati dan benar-benar kita beritahu Allah yang kita inginkan itu dan ini. Inilah tanda kita nak sangat apa yang kita minta. Jika kita meminta, mestilah bersungguh-sungguh."

Murid-murid : "Tetapi ustazah, apa yang kami doa tadi dalam bahasa arab. Kami tidak faham langsung!"

Ustazah Halimah : "Oleh sebab itu, ustazah nak beritahu maksudnya kepada kamu semua. Apabila kita memahami doa itu, beerti kita meminta bukan dengan main-main kepada Allah. Mari ikut ustazah maksud bacaan doa tadi."

"Ya Allah rahmatilah kami dengan Quran,

Jadikanlah ia imam, cahaya, petunjuk dan rahmat untuk kami,

Ya Allah daripadanya peringatkanlah kami apa yang kami lupa dan daripadanya ajarilah kami apa yang kami jahil,

Kurniakan kami kesempatan membaca pada malam dan sepanjang siang hari,

Dan jadikanlah ia hujjah untuk kami wahai Tuhan sekalian alam."


Murid-murid : "Sedapnya susunan bahasa dalam doa ni. Selepas tahu dan faham maksudnya, terasa sangat bersemangat untuk mendapatkan manfaat daripada Quran seperti apa yang kita pohon kepada Allah tadi!"

Ustazah Halimah : "Ustazah rasa seronok melihat anak-anak semua bersemangat untuk mengambil Quran sebagaimana yang dinyatakan dalam doa. Namun begitu, ustazah mesti tanya kepada kalian; selain kita membaca dengan bacaan tajwid yang betul, apa yang anak-anak semua tahu tentang al-Quran ini?

Murid-murid : *mula memandang muka antara satu sama lain, suasana riuh seketika kerana berbincang dengan rakan-rakan sebelah untuk memastikan jawapan mereka; malah ada yang menyelak-nyelak helaian muka surat buku teks tilawah al-Quran yang dibaca pada awal pembelajaran tadi, barangkali ada jawapan yang skema boleh diajukan kepada ustazah.*

Ustazah Halimah : *Sambil menetup tangan dua kali menghasilkan bunyi yang kuat untuk mengambil perhatian murid-murid, lalu berkata* "Baiklah, anak-anak, biar ustazah sahaja yang beritahu semua sebagai pengenalan kita kepada kitab al-Quran ini. Semua bersedia?"

Murid-murid : "Ya, sudah!"

Ustazah Halimah : "Ingat anak-anak! Sebelum kita bermula, ustazah suka untuk memberitahu anak-anak bahawa sebenarnya, tuhan kita, Allah subhanahu wa taala sendiri yang memperkenalkan kepada kita tentang al-Quran ini. Perhatikan baik-baik ya!"



1. Kalam Allah. 

al-Quran ini kandungannya adalah kata-kata atau firman Allah yang diwahyukan kepada nabi Muhamad ﷺ dengan perantaraan melalui malaikat Jibril. Maka, tatkala Rasululullah ﷺ menyebut kalimah-kalimah al-Quran termasuklah yang direkodkan dan ditulis ini adalah firman Allah semata-mata. Allah sendiri yang mengesahkannya :

"dan tiadalah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsu (Muhamad)[3]. Ucapannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)[4]." surah an-Najm

Semasa Rasulullah   ﷺ  melakukan dakwah islamiah dengan menyampaikan firman Allah kepada masyarakat  musyrikin Makkah, mereka benar-benar tidak percaya itu datang daripada Allah. Kemudian mereka kata Quran itu sihir dan nabi adalah seorang yang gila; lalu Allah menjawab:

"Sesungguhnya Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (iaini Jibril)[19] yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah yang punyai A'rasy[20], yang ditaati di sana (iaitu alam Malaikat) lagi dipercayai[21], dan sahabatmu (Muhamad) itu bukanlah sekali-kali orang yang gila[22]." surah at-Takwir

2. Melemahkan yang menentang al-Quran.

Rasul-rasul sebelum nabi Muhamad   ﷺ , diberikan mukjizat yang berbeza-beza sebagai tanda kekuasaan Allah dan membuktikan kerasulan mereka seperti Musa a.s dan tongkatnya menjadi ular, Isa a.s dapat mengembali penglihatan orang buta sejak lahir dan sebagainya. Tanda-tanda ini bertindak melemahkan tentangan musuh-musuh yang mendustakan ajaran lurus rasul-rasul itu.

Dalam kalangan masyarakat arab terutamanya di kota metropolitan Makkah, terkenal dan bangga dengan kesusasteraan yang tinggi dalam bahasa arab, lahirlah para penyair juga merupakan pakar dalam bidang ini. Bahasa dan kata-kata yang disusun dan dilontarkan pada mulut mereka mampu menjadi senjata ampuh melemahkan musuh dari segi emosi dan psikologinya.

Maka, turunlah Quran kepada Rasulullah  ﷺ , dengan tahap bahasa arab yang teramat tinggi sehingga tidak mampu menyamai taraf dengannya; bukan sahaja melemahkan tentangan musuh, bahkan menjadi tanda kerasulan Baginda   ﷺ  yang buta huruf itu bahawa Quran ini benar dari Allah lagi membenarkan!

Maka dicabarnya musuh-musuh jika mampu menandingi Quran ini!

"Patutkah mereka mengatakan : 'Muhamad membuat-buatnya (Quran).' Katakanlah : '(Kalau benar yang kamu katakan itu) maka cubalah datangkan sebuah surah seumpamanya dan panggillah siapa-siapa yang dapat kamu panggil (untuk membuatnya) selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar'.[38]" surah Yunus


Ustazah Halimah : "Hum. . Tahap kesusasteraan yang tinggi itu mampu menjadikan tanda dan bukti yang nyata semasa zaman Nabi   ﷺ . Bagaimana dengan selapas lebih seribu empat ratus tahun kewafatan Baginda   ﷺ ? Adakah dengan sastera sahaja dapat dibuktikan kepada musuh era moden kini? Jawapannya,   selain sastera, ada tanda berbentuk saintifik yang menjadi asas pembuktian kebenaran untuk zaman moden; ini beerti Quran sangat sesuai sepanjang zaman sebagai panduan hidup manusiawi  dan dipelihara Allah sentiasa." 


"dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) daripada tanah[12]. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (iaini rahim ibu)[13].


Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dam segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami salutkan dengan daging. Kemudian Kami jadikan ia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Suci Allah, Pencipta yang Paling Baik[14]." surah al-Mukminun


Ketika zaman Rasululullah  ﷺ  di mana turunnya ayat ini, sebarang ilmu pengetahuan pada ketika itu tidak mampu menjelaskan apa-apa tentang ayat itu. Tetapi, zaman berubah dari kurun ke kurun seterusnya, ilmu pengetahuan dan kajian semakin luas dan mendalam, maka kita di abad dua puluh satu ini, mampu membuktikan benarnya penurunan ayat itu melangkau zamannya, terbukti Quran itu datang dari Allah.

3. Diturunkan ke hati Muhamad  ﷺ.


"Dan sesungguhnya al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta a'lam[192], ia dibawa turun oleh ar-Ruh al-Amin (iaini Jibril)[193] ke dalam hatimu (Muhamad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan[194] dengan bahasa arab yang jelas[195]." surah ash-Shuara

4. Disampaikan dengan beransur-ansur.

Pernah orang musyrikin mempersoalkan tentang penurunan Quran yang sedikit demi sedikit, mengapa tidak diturunkan sekali gus. Sikap ini ternyata bernada tidak puas hati dan berunsur menentang apa yang dibawa oleh nabi Muhamad ﷺ . Lalu Allah tidak membiarkan malah menjawab persoalan itu.

"Berkatalah orang-orang kafir : 'Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya (iaini Muhamad) sekali turun sahaja?' ; (dijawab) 'Demikianlah supaya Kami perkuatkan hatimu dengannya (iaitu Quran)  dam Kami membacakannya secara tartil (teratur dan benar)'[32]". surah al-Furqan




Ustazah Halimah : "Ada tujuan dan hikmah disebalik penuruan yang berperingkat-peringkat! Antaranya : "
  • (1)  Penurunan di sertakan peristiwa tertentu, seiring dengan kejadian yang berlaku dalam masyarakat dan bertahap dalam menetapkan sesuatu hukum. 
Sebagai contoh, semasa dakwah nabi Muhamad  ﷺ  diperingkat Makkah, Baginda  ﷺ  didatangi orang Quraisy untuk mempengaruhi dengan tawaran-tawaran yang hebat : harta, perempuan, malah bersama-sama bergilir-gilir dalam menganuti agama seperti setahun beragama islam, kemudian tahun hadapan menyembah berhala. Peristiwa ini menyebabkan turunnya surah al-Kafirun sebagai jawapan kepada tawaran tersebut;

"Katakanlah : Wahai orang-orang kafir![1] Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah[2]. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah[3]. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah[4]. Dan kamu (pula) tidak pernah menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah[5]. Untukmu cara hidupmu dan untukku cara hidupku[6]."
  • (2) Untuk dihafal dan difahami. 
Setiap kali penurunan wahyu, Nabi ﷺ akan menyebutnya dan para sahabat akan menghafal, dan ditulis juga. Sehingga zaman pemerintahan Khulafa a-Rashidin, proses pengumpulan dan pembukuan berlaku, dan ke hari ini kita mendapatkan original isi kandungan Kitab Allah iaitu Quran tanpa perubahan dan cacat cela.

Ustazah Halimah : "hah. . .yang terakhir ini, mesti anak-anak semua sudah tahu, bukan!?"


5. Membacanya adalah ibadah. 

Allah ada berfirman dalam surah Fatir;

"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menginfaqkan sebahagian daripada rezeki Kami anugerahkan kepada mereka secara diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugikan[29]


agar Allah menyempurakan kepada mereka pahala dan kurniaanNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Mensyukuri[30]."




Tanpa keraguan lagi, Allah pasti memberi ganjaran pahala kepada mereka yang membaca Quran serta menjadikan sebagai ibadah atau amal soleh.

Ustazah Halimah : "Anak-anak, faham tidak apa yang ustazah terangkan?"

Murid-murid : "Faham. . ."

Ustazah Halimah : *dengan tersenyum lebar, dan sedikit tergelak, pasti ada sesuatu yang difikirkannya* "huhuhu. . . ustazah faham, anak-anak masih sangat muda lagi; yang dapat memahaminya, alhamdulillah. Namun, pasti ada yang kurang faham lagi. Tidak mengapa, selepas ini boleh berjumpa dengan ustazah di bilik guru bila-bila masa sahaja, ustazah akan membantu jika memerlukan sedikit pencerahan atau persoalan. Kamu semua takut pada ustazah kah?"

Murid-murid : "Tidak. . .kami sangat sayang ustazah sebab ustazaah sanggup melayan kami dan terangkan kepada kami sehingga kami faham". *senyum*

Ustazah Halimah : "Alhamdulillah, syukur pada Allah. Walaupun ustazah sudah terangkan panjang lebar tadi, satu sahaja yang ustazah minta; Tolonglah semaikan kefahaman di hati dan sentiasa ingat akan carta minda 'mengenali Quran' ini. Mungkin sekarang ia tidak diperlukan sangat, tetapi masa akan datang ia bakal membantu dalam kehidupan anak-anak serta orang lain. " 

*ustazah memikirkan masa depan yang di dukung oleh anak-anak dengan menggunakan carta minda itu dalam penyampaian dakwah dan tarbiyah mereka kelak*

"Baik semua, sebelum kita habisi pelajaran kita, mari tadah tangan dan berdoa bersama-sama; ikut apa yang ustazah cakapkan : 'Allahumma faqihna fiddin wa a'limnal kitab', 'Ya Allah fahamkanlah kami akan agamamu dan ajarilah kami kitabmu!'. Ameen ya Rabb al-a'lamin."





Kredit :


Quran | Tafseer Quran | Sumber 1 | Sumber 2 | Sumber 3 | Sumber 4

Wednesday, April 11, 2012

Kisah seorang yang sangat sayangkan laptopnya.

Hello & Salamun A'laikum - QS 06:54
In The Name Of Allah, Most Gracious, Most Merciful.

Raimi : "Penat!"

Syafiq : "Amboi, letih nampaknya! Buat apa dari pagi sampai ke malam letih sangat?"

Raimi : "Eh!" aku bermonolog dalaman *Aku keluar makan di gerai depan, kemudian pulang menghadap laptop, internet. Ya tak ya. Dengan internet sahaja.* "Astaghfirullahal a'zim"

Syafiq : "Amboi, amboi, apa sudah jadi pula ni?"

Raimi : "Tak ku sangka menghabiskan masa di hadapan laptop dan melayari internet hampir satu hari adalah kesibukan aku yang mendatangkan keletihan."

Syafiq : "Astaghfirullahal a'zim, itu bukan sibuk namanya, itu membuang masa. Ingatlah wahai sahabat! Sebelum menularnya kebiasaan membuang masa kepada yang sia-sia ini, berjaga-jagalah! Kelak perbuatan yang sia-sia, harganya dibayar dengan kerugian usia engkau sahaja."

Raimi : "Betul, Hassan!. Bahkan perbuatan aku itu aku dapati langsung tiada unsur ibadah kepada Allah. Aku melayari internet semata-mata untuk ke ruangan sosial Facebook, menonton apa-apa yang aku terlintas dan berminat di YouTube, membaca komik-komik dan menonton anime secara online yang tidak henti-henti. Jikalau hendak dikirakan, memang terlalu banyak yang lagha semata-mata."

Syafiq : "Nah, terimalah nasihatku! Usahlah terlalu asyik dengan perkara yang sia-sia. Itu sebahagian daripada jahiliyah. Tidak menguntungkan apa-apa pun. Usah ditunggu lagi, nanti apabila dibiarkan tanpa tindakan berubah, mulalah nafsu memakan hati dan fikiran, lalu jasad menurutinya, akhirnya kembali ke taku yang lama."

Raimi : "Tetapi, Hassan. . . aku risau. Tatkala aku menghadap laptop sahaja, pasti aku akan melayari internet. Bantu aku, sahabatku!"

Syafiq : "Ya, benar. Setakat azam yang tinggi itu tidak cukup.  Malah ia mesti di sinergikan bersama dengan hati, minda dan fizikalmu, Raimi. Hatimu mesti dibersihkan dengan mengikhlaskan sungguh-sungguh untuk melaksanakan perubahan. Mindamu mestilah diisi dengan sesuatu yang menjanakan kecerdasan dan ilmu pengetahuan. Fizikalmu mesti disibukkan dengan aktiviti yang menjauhkan daripada jahiliyah. Maka untuk laptopmu itu, biarkan aku sahaja yang menyimpannya, jika ada keperluan, engkau nyatakan alasan yang bernas kepadaku untuk mengambil dan menggunnakannya. Kemudian sesudah itu, pulang kembali kepadaku. Bagaimana pandanganmu?"

Raimi : "Wah! Aku setuju! Ini bukan sahaja menyelesaikan masalahku membuang masa dengan laptopku, malah mendidik hati, minda dan fizikalku daripada menjauhi jahiliyah."

Syafiq : "Benar,Raimi! Aku tetap akan membantumu, malah ini menjadikan satu peringatan kepadaku juga dalam mendidik diriku ini. Bak kata orang putih 'kill two birds with one stone' hahahaha".

Raimi : "Hahahaha, ya! Moga-moga usaha kita ini akan menjanakan keberhasilannya nanti".

Syafiq : "Insha Allah. Malah engkau jangan berharap, ia akan berhasil dalam masa seminggu atau dua minggu! Barangkali sebulan atau memakan bertahun-tahun baru engkau boleh menjinakkan nafsumu, dapat membiasakan diri menjauhkan jahiliyah, malah engkau sangat sensitif jika ada saja jahiliyah cuba hampiri atau terpercik kepadamu!"

Raimi : "Masha Allah! Aku akui! Bukanlah mudah untuk mencapai hasil yang memuaskan itu! Malah sepanjang proses itu, pasti aku diuji dengan pelbagai dugaan dan kepayahan. Ketika itulah Allah menguji keikhlasanku adakah benar aku ini ingin berubah. Aku mohon kepadaNya perlindungan dan ketabahan hati, kecekalan dalam usahaku ini".

Syafiq : "Ameen. Insha Allah, Raimi. Namun, jangan kau lupa, aku ada di sisimu dan akan bersamamu."

Raimi : "Jazakumullahu khairan kathira, akhi!"

Syafiq : "Wa iyyakum".

Monday, April 2, 2012

Hello & Salamun A'laikum - QS 06:54
In The Name Of Allah, Most Gracious, Most Merciful.

(Apabila melihat dua tiga post sebelum ini) Eh, eh, eh. . nampaknya aku ini sudah mula untuk malas menulis. Ya, ternyata hanya meletakkan gambar dan sedikit tulisan, dengan harapan pembaca pandai-pandai untuk memhaminya sendiri.

Aku bermohon keampunan daripada Tuhan. Sikap apakah ini!? Tidak patut menyemaikan dalam diri malah ia tidak elok dijadikan contoh kepada adik-adik atau orang yang memandang dan menghormati kita. Syukur kepada Tuhan. Perasaan tidak seronok tertimbul apabila memikirkan, mengapalah tangan ini seperti tidak puas menulis, akal tidak puas diperah untuk memikir dan hati tidak tenang kerana tidak berkongsi.

Pada peringkat awal ini, aku menemukannya agar aku segera membendungnya daripada menjadi kebiasaan yang liat untuk berhenti.

Ternyata pada pagi yang hening ini, aku memuhasabah dan merenung diri yang lemah ini, mendapati penulisanku mampu memotivasikan diri untuk terus berjuang mencapai impian dan matlamatku. Penulisanku yang bermacam rasa dan perisa pengalaman dan berbentuk memperbaiki diri (sendiri) dan mebantu orang lain yang berada pada jalan yang hampir sama denganku.

Aku berharap akan aku 'thabat' dan 'istiqamah' dalam penulisanku.

Wallahu a'lam.