Tuesday, June 5, 2012

Pendidik yang ikhlas kepada anak didiknya.

Hello & Salamun A'laikum - QS 06:54
In The Name Of Allah, Most Gracious, Most Merciful.

Nampaknya, bulan ini merupakan bulan yang sangat kritikal bagi semua penuntut universiti, bukan setakat mereka di universiti tempatan dan swasta Malaysia, bahkan kami yang menuntut di luar negara ini, khasnya dari bumi Persekutuan Russia juga menempuh jalan yang sama. Ini bulan peperiksaan besar.

Namun untuk-ku, kali ini ia merupakan satu yang sangat bersejarah, kerana diriku bergelar pelajar perubatan tahun akhir (tahun 6) di satu universiti terkenal di negeri Moscow, selang beberapa hari lagi bakal menduduki peperiksaan terbesar kami sebelum melepasi alam universiti, lalu dinobatkan sebagai graduan universiti.

Kebiasaannya, waktu-waktu yang sangat singkat dan penting ini, semestinya usah dibuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Bertungkus-lumus dan besungguh-sungguh mencari jalan untuk mengembalikan memori pengajaran sejak tahun pertama hingga sekarang, kerana pengetahuan kami bakal diuji oleh tiga orang professor bagi setiap seorang pelajar.

Keadaan ini, tidak dinafikan menjadi asam garam pelajar untuk mengalami stress. Aku juga tidak terkecuali. Aku sedaya upaya menggunakan cara terbaik dalam mengoptimumkan pemahamanku dalam setiap subjek; tidak cukup dengan itu, aku berdoa dihatiku agar sentiasa berada dalam ketenangan dalaman dan juga luaran, agar dijauhi sebarang bentuk keadaan serta anasir yang mengganggu ketenteraman hati ini.

Tatkala aku membuka buku notaku dalam subjek perbidananan dan sakit puan (obstetric and gynaecology), hatiku sebak dan mindaku melayang dek keresahan. Namun, setelah sehelai dua aku membaca nota yang aku bersungguh-sungguh mencatit segala ilmu yang dicurahkan oleh seorang guru yang aku cintai kerana cara didikannya, tiba-tiba hatiku bersemangat dan tenang serta mindaku tertumpu dan fokus.

Subhanallah, mudahnya aku untuk mencerna ilmu ini; hatiku tidak putus-putus memuji Allah subhanahu wa taala sambil aku membaca notaku itu. Enak benar jiwaku menghadam segala curahan ilmu serta mempermudahkan kami semasa kami di-didik olehnya. Situasi begini, aku dapat merasakan, barangkali guruku itu memang benar-benar ikhlas dalam mendidik anak didikannya.

Ini memberikan inspirasi kepadaku, untuk menjadi pendidik/murabbi yang 'super', insha Allah. 


No comments:

Post a Comment